Thursday, December 31, 2009

Maahad Tahfiz Al-Akhyar Kini Mesra Pelanggan

Alhamdulillah kini MTA telah melangkah setapak lagi di dalam sistem pengurusan dan pentadbirannya dengan memanfaatkan pencapaian ICT yang ada dlam pasaran. MTA telah memiliki SISTEM PENGURUSAN SEKOLAH ONLINE dan pelanggan-pelanggan MTA khususnya ibu bapa dapat mengekses pelbagai maklumat.

Sistem Pengurusan Sekolah - Maahad Tahfiz Al-Akhyar dibangunkan khusus untuk memberi kemudahan bukan sahaja kepada pengurusan sekolah tetapi juga kepada ibubapa / penjaga dan dan murid khususnya. 

Modul 'eWARIS' ini membolehkan ibubapa membuat pendaftaran dan pembayaran secara online internet. Servis online ini bukan sahaja dapat memudahkan dan menjimatkan masa, malah dapat mengurangkan kos dimana semua urusan boleh dibuat hanya dirumah atau dipejabat sahaja.

Seperkara yang penting 'eWARIS' ini membolehkan ibubapa / penjaga membuat "pemantauan berterusan" terhadap prestasi akademik dan tingkah laku (disiplin) anak-anak secara berterusan melalui internet dan juga sistem pesanan ringkas (SMS).

Di harap ini dapat membantu sedikit sebanyak dalam memperkasakan institusi pendidikan ISLAM ke arah melahirkan generasi berwawasan dunia dan akhirat.
capaian ibubapa : sps.net.my/alakhyar/sps/ewaris/

Wednesday, December 30, 2009

Nilai Pendidikan Anak-Anak



Di peringkat Negara, pendidikan generasi muda sering mendapat perhatian dan peruntukan yang besar. Itu adalah kerana kepincangan generasi muda akan melibatkan masalah dan kos yang sangat besar untuk diperbaiki. Malaysia kini dilaporkan terpaksa membelanjakan sejumlah RM1.3 bilion bagi tujuan menangani masalah dadah walaupun kerajaan dinyatakan masih gagal dalam usaha menanganinya (rujuk di sini).
Itu baru satu masalah negara, apa pula masalah-masalah lain seperti juvana, gejala sosial, kemaksiatan dan lain-lain – kesemuanya bukan sahaja melibatkan perbelanjaan wang ringgit, tetapi curahan tenaga penguatkuasa dan prasarana berbilion ringgit pula.
Menurut Prof. Dr. Yusof Al Qaradhawi, seorang sarjana dan pemikir Islam yang tersohor dan disegani masa kini, katanya ; “ Apabila kita hendak melihat wajah negara pada masa hadapan, lihatlah generasi mudanya pada hari ini, sekiranya golongan muda pada hari ini adalah dari kalangan yang berakhlak dan berhemah tinggi, tentunya negara kita akan datang adalah sebuah negara yang aman makmur ‘ baldatun tayyibatun wa rabbun ghafur” tetapi jika keadaan adalah sebaliknya maka bersedialah untuk berhadapan dengan kemungkinan buruk yang akan berlaku”.
Hal tersebut sebenarnya bermula dengan keimanan sesaorang individu, sebab itu semenjak Nabi Ibrahim hal ini telah menjadi keperihatinan dan tertera di dalam do’a Nabi Ibrahim. Dan (ingatlah) ketika Ibrahim berkata: “Ya Tuhanku, jadikanlah negeri ini (Mekah) negeri yang aman dan jauhkanlah aku beserta anak cucuku daripada menyembah berhala. Ya Tuhanku, sesungguhnya berhala-berhala itu telah menyesatkan kebanyakan daripada manusia, maka sesiapa yang mengikutiku, maka sesungguhnya orang itu termasuk daripada golonganku, dan sesiapa yang menderhakai aku, maka sesungguhnya Engkau maha Pengampun lagi Maha Penyayang” (Surah Ibrahim:35-36).
Pada ibu bapa yang diberi hidayah dan kesedaran serta peluang memasukan anak-anaknya ke sekolah-sekolah Islam, mereka akan mengambil peluang keemasan tersebut dan sangup mengorbankan sebahagian rezekinya untuk membayar yuran pendidikan di sekolah Islam swasta walaupun mempunyai pilihan untuk mendapatkan pendidikan di sekolah kerajaan yang boleh dikatakan percuma. Ibu bapa tersebut tentunya menyedari hadith Rasulullah dan berusaha untuk memastikan anak-anak menjadi anak yang bertaqwa. Rasulullah SAW bersabda (maksudnya);“Kanak-kanak itu dilahirkan suci murni, maka ibu dan ayahnyalah yang akan menjadikan ia Nssrani, Yahudi atau Majusi ataupun seorang yang tidak berpegang kepada sebarang agama hingga dia tidak yakin dan percaya akan wujudnya Tuhan itu”
Di sekolah yang mengutamakan dan menjadikan asas pendidikan Islam sebagai tunggak pendidikan, aspek keberkesanan pendidikan (tarbiyah) tidak dikompromikan walaupun disamping itu pelajaran akademik turut diajar. Sekolah Islam sebegini berpegang kepada Firman Allah (maksudnya); “Wahai anakku, dirikanlah solat dan suruhlah manusia mengerjakan yang baik dan cegahlah mereka dari mengerjakan yang mungkar dan bersabarlah terhadap apa yang menimpa engkau. Sesungguhnya yang demikian itu termasuk hal-hal yang diwajibkan oleh Allah”. (Surah Luqman:17)
Kepada ibu bapa yang memilih sekolah Islam sebagaimana sekolah-sekolah rangkaian MUSLEH di Malaysia (sebagai contoh), mereka sedar akan sabda Rasulullah SAW (maksudnya); “Satu dirham yang anda belanjakan di jalan Allah dan satu dirham yang anda keluarkan kepada kenderaan anda; dan satu dirham yang anda nafkahkan kepada anak-anak anda; antara semuanya itu sebaik-baik dirham itu ialah apa yang anda nafkahkan kepada anak anda.” (Maksud Hadith)
Pendidikan Islam anak-anak diperingkat rendah dan menengah sesungguhnya bukan suatu ‘pilihan’ sebaliknya ia adalah Amanah dan Kewajipan yang perlu ditunaikan oleh ibu bapa. Bayaran yuran dan keperluan memasukkan anak-anak di sekolah Islam swasta sememang memerlukan bayaran yang agak tinggi (namun tidaklah setinggi sekolah swasta lain). Tetapi jika kita meneliti pengorbanan ini di dalam perspektif perjuangan dan tanggungjawab ayah ibu, ia sebenarnya adalah pelaburan yang sangat tepat dan terpuji. Kejayaan pendidikan anak-anak melalui pendekatan ini, Insya Allah bukan sahaja akan memungkinkan lahirnya generasi soleh wa-musleh yang akan menyejukkan dan mengamankan roh-roh ibu bapa, lebih dari itu akan mampu menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat, negara dan ummah. Kita sebenarnya adalah pendokong dan pemangkin kepada bakal lahirnya generasi baru seumpama ‘Umar Abdul Aziz’, ‘Salahuddin al-Ayubi’ dan ‘Hassan Al-Banna’ Insya Allah. Jika itu menjadi niat kita, sesungguhnya nilaian pengorbanan ini di sisi Allah sangatlah besar berbanding wang yang kita belanjakan untuk pendidikan anak-anak kita itu yang sebenarnya juga adalah datangnya dari Allah dan merupakan amanah Allah untuk kita belanjakan ditempat yang terbaik. [Gambar: Pelajar Sek Tahfiz Al-Akhyar Johor Bahru solat berjamaah di musolla sekolah].

Friday, December 25, 2009

Majlis Taklimat & Ramah Mesra JPS & Ibu Bapa - Sesi Baru 2010



MTA telah berjaya menganjurkan satu majlis di atas pada 25 Jan 2009 bersamaan 8 Muharam 1431 (hari Jumaat) dari jam 11.00pagi hingga 12.30 t. hari di MTA. Majlis dihadiri oleh sekitar 50 orang ibu bapa. Majlis turut dihadiri oleh para guru dan anggota JPS.
Majlis dimulai dengan ucapan alua-aluan oleh Guru penolong kanan (GPK) Ustazah Nor Aziah, diikuti oleh bacaan Qur'an dari awal surah As-Shaf oleh Ust. Zainuddin, ucapan Mudir Am Ust Abu Ubaidah, pembentangan oleh pengerusi JPS PM Dr Mohd Zin dan sesi soal jawab serta cadangan-cadangan oleh para hadirin (khususnya ibu bapa).
Majlis bertujuan untuk membentangkan laporan rengkas Jun-Dis 2009 (bermulanya JPS diberi tangungjawab). Di dalam jangka masa ini, JPS telah memiliki kerangka strategi umum bagaimana MTA perlu diperkasakan. Asas penubuhan MTA semenjak 9 tahun lalu juga menjadi asas perspektif rancangan MTA. Namun tidak banyak perubahan boleh dilaksanakan kerana JPS beranggapan bahawa setengah tahun kedua 2009 perlu meneruskan apa yang sedang berjalan dari awal tahun. Pada jangka masa tersebut, JPS telah menyemak beberapa perkara fundamental dan berusaha menyelesaikan beberapa perkara asas dan berbangkit di samping mencadangkan beberapa strategi penambahbaikkan khususnya di bidang pentadbiran/pengurusan operasi.
Tujuan ke dua majlis di atas adalah membentangkan rancangan komprehensif untuk 1 tahun (2010) yang telah diputuskan di dalam bengkel MTA (Nov 2009) dan 2 mesyuarat JPS pada Dis 2009. Pengerusi JPS dalam majlis ini membentangkan rancangan MTA Ke Arah kecemerlangan 2010 meliputi kerangka 'matrik' dan pelan tindakan dari pelbagai aspek meliputi kurikulum, ko-Q, P&P, Prasarana & Logistik, jadual waktu sekolah, disiplin pelajar, peraturan guru, yuran-yuran, kerjasama ibu bapa, pengemblingan tenaga JPS dan lain-lain berkaitan. Pembentangan lebih satu jam oleh Pengerusi JPS berusaha menjelaskan beberapa keputusan rasional dan onjektif JPS untuk disambut dan diberi kejasama padu oleh ibu apa dan guru-guru.
Umumnya response positif diberikan oleh ibu bapa secara sepontan di akhir majlis ini berjalan. Beberapa cadangan balas dan positif dari ibu bapa, telah berada di dalam pertimbangan dan tindakan JPS - antaranya saluran maklumat melalui internet yang sedia dilaksanakan melalui blog JPS selain laman web MTA. Isu berkaitan beberapa gambaran negatif oleh segelintir bekas ibu-bapa MTA yang ditimbulkan, pihak JPS beranggapan bahawa isu itu akan berakhir seandainya pada tahun ini MTA dapat membuktikan pentadbiran yang telus, P&P yang berkesan serta pencapaian kecemerlangan murid sebagaimana yang dirancang. Beberapa soalan teknikal oleh ibu bapa juga dijawab oleh Mudir Am dan usaha-usaha segera untuk mengatasi sedang giat dijalankan. Di akhir sesi, wakil guru (Ust Zainuddin) meminta ibu-bapa melihat aspek kejayaan/pencapaian murid disamping mengemukakan teguran yang membina. Pengerusi JPS juga memaklumkan bahawa suatu sistem mendapatkan 'feed-back' pelanggan melalui peti cadangan telah diambil perkiraan dan pihak MTA akan berusaha memperbaiki segala kekurangan.
Majlis juga memaklumkan penggunaan sistem SPS (Sistem Pengurusan Sepadu) dalam bentuk capaian internet. Ibu Bapa akan dapat mengakses maklumat pelajar dan membuat pembayaran yuran secara mudah melalui sistem ini.

MTA KE ARAH KECEMERLANGAN 2


JPS MTA telah sepakat bahawa selepas 10 tahun beroperasi, banyak pengalaman yang telah dilalui. Walaupun pencapaian akademik belum terserlah berbanding sekolah-sekolah swasta/komuniti yang seangkatan, namun ibu bapa majoritinya mengakui bahawa pendidikan agama yang diterima pelajar di MTA sangat memuaskan. Beberapa orang bapa secara peribadi menjelaskan hal ini kepada pengerusi JPS di dalam sesi tidak formal selepas majlis-majlis rasmi yang dijalankan bersama ibu bapa di sekolah.
Namun begitu, pihak JPS pada tahun ini berhasrat untuk memperkasakan MTA dalam bentuk Kecemerlangan Bersepadu. JPS telah merangka satu pelan strategi jangka pendek (setahun - 2010) di mana pengemblingan tenaga, pemikiran dan kewangan dirancang agar suatu natijah kecemerlangan murid dapat dilihat secara bersepadu. Gambaran rancangan tersebut tertera di dalam 'matrik' di atas. Ia meliputi empat (4) komponen utama iaitu (a) Murabbi (Pendidik); (b) Manhaj (sistem kurikulum & Ko-Q) berasaskan Al_Qur'an dan Sunnah serta silibus semasa; (c) Bi'ah (pewujudan persekitaran yang kondusif) untuk P&P / Tarbiyah; dan (d) Murid (dengan iradah/kemahuan yang tinggi untuk dididik).
Pelan dan kerangka matrik di atas memiliki sub-tajuk yang sedang di dalam tindakan menyeluruh oleh para pentadbir dan murabbi/guru MTA. Dua taklimat kepada guru dan ibu bapa telah dijalankan dan dibentangkan oleh pengerusi JPS MTA pada 25 Dis 2009 bagi mendapat kerjasama dan dokongan padu warga MTA. Semoga ALlah mempermudahkan niat suci ini. Wassalamualaikum.

Taklimat JPS kepada Murabbi MTA


25 Dis 2009 (bersamaan 8 Muharam 1341) telah berlangsung taklimat JPS yang disampaikan oleh pengerusi JPS kepada para guru dan staf MTA. Majlis turut dihadiri oleh beberapa ahli JPS khususnya bendahari (En Ramli Mamat) dan Pn Haslinda (Biro Dana). Majlis dihadiri oleh kesemua guru termsuk guru baru (Cikgu Sulaiman). Taklimat ini adalah sebahagian dari keputusan bengkel MTA dan mesyuarat JPS yang diadakan sebelum ini. Pengerusi menjelaskan kerangka strategi dan pelan tindakan kearah kecemerlangan MTA. JPSMTA ditubuh 6 bulan yang lalu, namun pada Januari 2010 merupakan permulaan JPS merancang untuk permulaan sessi pengajian, oleh itu JPS berusaha untuk memastikan bahawa perancangan yang bersepadu boleh mula di laksanakan pada tahun 2010 ini. Pelbagai pendekatan dibentangkan menyentuh aspek murid, guru, pentadbiran, prasarana, silibus dan hubungan dengan biu bapa. Para guru dan staf MTA diminta untuk bersedia dengan budaya kerja dan budaya sekolah yang lebih positif. Beberapa peraturan dan prosidur baru juga diketengahkan sebagai langkah positif menambahbaik sistem P&P dan pentadbiran sekolah MTA.

Friday, December 18, 2009

TAHNIAH PESANTREN KILAT KALI KE-4 (KEM TAHFIZ MTA)

Pihak JPS merakamkan ucapan tahniah di atas pengemblingan tenaga para murabbi MTA di atas kejayaan penganjuran program di atas yang berlangsung dari 1-13 Dis 2009 yang lalu. Tentunya banyak manfaat yang diperolehi oleh para peserta. Semoga meraka akan dapat mengamalkan apa yang dipelajari. Tidak ketinggalan kepada semua penceramah dan fasilitator, JPS mengucapkan Jazakmullahukhairan kathira.

SPPM- Pentaksiran Pelajar Secara Menyeluruh.

SPPM

SISTEM PENTAKSIRAN PELAJAR MUSLEH telah dilaksanakan si semua sekolah di bawah rangkaian Musleh di seluruh negara. SPPM di gubal sebagai instrument yang bertujuan membuat pentaksiran terhadap pencapaian dan perkembangan pelajar-pelajar Islam di dalam aspek kefahaman, amalan, akhlak dan ibadat. SPPM dibangunkan oleh Musleh bagai digunakan oleh sekolah-sekolah di bawah rangkaiannya. Kini SPPM dalam proses ujian bagi kegunaan sekolah-sekolah kebangsaan. Baca selanjutnya di SINI.

Mesyuarat ke 5 JPS rancak

Hari ini 18 Dis 2009, bersamaan 1 Muharram 1341 berlangsung mesyuarat JPS MTA bertempat di MTA bermula dari jam 5.00ptg sehingga 10.00malam (5 jam) dengan rehat untuk solat Maghrib. Mesyuarat dimulakan dengan pembentangan cadangan rangka kerja "MTA ke arah kecemerlangan" yang merangkumi 4 komponent penting iaitu Murabbi, Manhaj, Biah dan Irodah (pelajar). Pelbagai agenda dibincangkan khususnya mengenai persiapan persekolahan 2010.
Mesyuarat memutuskan beberapa perkara termasuk:-
a. Penerusan sistem kurikulum integrasi; Akademik, deeniah dan tahfiz untuk semua peringkat rendah dan menengah.
b. Menggunakan buku teks/rujukan dan buku kerja silibus KPM (akademik), buku JAJ, Musleh dan MTA sendiri.
c. Sistem pengurusan pentadbiran dan kewangan yang lebih sistematik.
d. Pemerkasaan P&P dan peningkatan imej perguruan.
e. Pelaksanan sistem kepimpinan dan disiplin murid.
f. Penambahbaikan prasarana dan kemudahan sokongan pembelajaran.

Pentadbiran MTA juga diperkemaskan dengan pengaktifan biro-biro yang sedia wujud. Di dalam mesyuarat akan datang, setiap biro dikehendakki membentangkan perancangan dan projek masing-masing. Setiap biro diminta mengadakan mesyuarat berkala masing-masing dan setiap cadangan kepada JPS sewajarnya dibincang terlebih dahulu diperingkat biro.

Jazakumullahukhairan di atas pengorbanan semua ahli JPS dan staf MTA yang turut hadir dan memberikan pelbagai buah fikiran dan keputusan di dalam mesyuarat MTA kali ini. Semoga diganjari Allah dengan kebaikkan di atas pengorbanan yang diberi di dalam membangunkan institusi dakwah dan tarbiyah imaniah MTA.

Sekian.

Thursday, December 17, 2009

MTA KE ARAH KECEMERLANGAN


Perutusan Pengerusi JPS MTA


Assalamualaikum

Segala puji kepada Allah SWT pencipta dan pentadbir sekelian alam, selawat dan salam keatas Rasul junjungan, kepada para sahabat dan mereka yang berjuang di jalan Islam yang suci dan murni ini.

Pendidikan anak-anak adalah asset termahal di dalam kehidupan sesaorang. Ini adalah kenyataan dan ramai yang memahaminya. Surah pertama yang diwahyukan Allah SWT yang bermaksud “Bacalah dengan nama Tuhan Mu yang menciptakan…” menggambarkan kedudukan ‘pendidikan’ dan martabat ‘ilmu’ bagi manusia. Oleh itu Ma’ahad Tahfiz Al-Akhyar (MTA) terus komited untuk menjalankan program pendidikan walaupun terpaksa melalui kesukaran serta menuntut pengorbanan mereka yang terlibat.

Kewujudan MTA yang kini berumur sepuluh tahun, telah mengumpul pelbagai pengalaman dan pencapaian. Kedudukannya yang strategic di pingir pusat bandaraya Johor Bahru, guru dari dalam dan luar Negara yang berwibawa, komposisi murid yang pelbagai termasuk dari negara Singapura, silibus yang merangkumi subjek akademik, deeniyah, lughah dan tahfiz menjadi asas yang baik untuk MTA melangkah dengan lebih cemerlang.

Pihak Jamaah Pengurusan Sekolah (JPS) MTA di dalam bengkel dan mesyuarat yang di adakan baru-baru ini telah mengenalpasti beberapa kelemahan MTA yang boleh diatasi dan pihak JPS telah mencadangkan beberapa langkah praktikal ke arah peningkatan kualiti pentadbiran, kualiti pendidik (murabbi), P&P dan pencapaian kecemerlangan pelajar. JPS mengenengahkan empat (4) pendekatan pendidikan tarbawiyah yang pernah diketengahkan oleh para pendidik Islam mahupun modern dan akan menggunakan di dalam pentadbiran di MTA. Komponen-komponen tersebut ialah (a)Murabbi (Pendidik); (b)Manhaj (Kurikulum); (c)Bi’ah (Persekitaran); dan (d)Irodah (Kehendak) oleh para pelajar. Pihak MTA akan berusaha melengkapkan segara kemungkinan seperti prasarana dan system yang dapat membantu menyediakan persekitaran yang positif kepada pentadbir, guru, murid mahupun ibu-bapa yang hadir ke sekolah.

Pendidikan adalah suatu proses berterusan dan perlukan pengemblingan pihak sekolah dan ibu-bapa. Harapan JPS ialah agar kita semua dapat mensyenrgikan keupayaan dalam bentuk pemikiran, masa, tenaga mahupun kewangan. Semua pihak memikul kewajipan dan tanggungjawab dan perlu diusahakan semampu mungkin bagi menunaikan tanggungjawab dan komitmen yang dijanjikan.

JPS dan pentadbir akan berusaha menyumbang pemikiran, kepakaran, idea dan masa; para guru akan berusaha memaksimakan usaha menjalankan P&P dengan lebih berkesan; murid-murid akan dididik dan diusahakan agar mereka lebih bersungguh-sungguh, berdisiplin dan bermotivasi; manakala ibu-bapa berusaha semampu mungkin memahami dan menyokong segala perancangan sekolah di samping berusaha melunaskan pembayaran yuran di dalam masa yang ditetapkan.

Semua itu adalah bentuk-bentuk pengorbanan yang perlu dibuktikan dengan sepenuh keikhlasan dalam rangka meraih keridhaan dan kasih sayang Allah swt. Segala harapan dan cita-cita murni kearah melahirkan anak-anak yang cemerlang dan soleh, perlu kepada pengorbanan dan keikhlasan. Keberkatan hidup berkeluarga dan kejayaan masa hadapan anak-anak adalah suatu tanggungjawab syara’. Jika kita berusaha melaksanakan dengan penuh tanggungjawab dan redha, Insya Allah kita akan menerima ganjaran yang mulia dari Allah yang Maha Agung.

Bersempena kedatangan tahun baru Hijrah 1431 dan Tahun baru 2010, marilah kita pertingkatkan asas perjuangan kita di dalam membentuk generasi penerus perjuangan Islam dengan keikhlasan yang tinggi dan komitmen yang padu bagi menjayakan Ma’ahad Tahfiz Al-Akhyar dan seterusnya kejayaan Islam.

Wallahu ‘alam, wassalamualaikum wm wb.

PM Dr. Mohd Zin Kandar

1 Muharam 1431

Johor Bahru

STRUKTUR ORGANISASI JPS MTA



BERIKUT ADALAH STRUKTUR ORGANISASI JPS MTA JOHOR BAHRU & GAMBAR KUNJUNGAN MTA KE Jabatan Agama Johor & Penaung

Pembentukan Jamaah Pengurusan Sekolah




Alhamdulillah

Tanggal 24 Jun 2009 bersamaan 1 Rejab 1430 merupakan hari bersejarah bagi Maahad Tahfiz Al-Akhyar apabila buat pertama kalinya sekolah ini mengumumkan kepada warga al-Akhyar tentang penubuhan Jamaah Pentadbir Sekolah (JPS). Majlis yang bersejarah turut dihadiri wakil Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ), Yang Berbahagia Ustaz Anuar Salikin yang turut memberikan ucapan. Turut Hadir ialah Yang Berbahagia Sohibus-samahah DatoTahrir bin Kiyai DatoShamsudin, Mufti Kerajaan Negeri Johor yang juga turut memberi ucapan dan nasihat.

Barisan JPS Al-Akhyar yang diumumkan di pengerusikan oleh Prof Madya Dr. Mohd Zin Kandar dengan gandingan ahli-ahlinya yang terdiri dari mereka yang berlatarbelakangkan akademik, agama, guru-guru, wakil ibu-bapa, dan ahli korporat (senarai penuh sila lihat di m.s. 2).

Dengan penubuhan JPS, Maahad Tahfiz Al-Akhyar (MTA) akan ditadbir dengan asas Amal jama’i, mengikut pentadbiran yang bersistematik dan profesional.

Ustaz Abu Ubaidah (Mudir MTA) dalam ucapan alu-aluannya menyatakan rasa syukur dan memaklumkan bahawa setelah sekian lama, penubuhan JPS menjadi realiti dan berharap perjalanan MTA akan lebih cemerlang. Dalam ucapan wakil JAIJ, Ust Anuar menghuraikan keperluan penubuhan JPS dan peranan yang wajar dimainkan oleh setiap pihak seperti pihak JPS, Pengurusan Sekolah (PS) dan PIBG yang sewajarnya saling berganding bahu dan mengembling tenaga membangunkan institusi pendidikan Islam yang sememangnya sangat signifikan kewujudan dan peranannya di dalam masyarakat khususnya di Johor Baru. Beliau menambah, pihaj JAIJ akan memberikan bimbingan dan membuat pemantauan.

Dato’ mufti di dalam ucapannya pula menasihatkan agar Maahad Tahfiz Al-Akhyar melaksanakan amalan dan pengajaran yang bertepatan dengan ajaran ahli-Sunah wal-Jemaah sebagaimana yang diamalkan di negeri Johor. Penekanan tersebut akan mengeratkan perpaduan dan memelihara pelajar dari salah tanggapan khususnya dalam amal Ibadah.

Pengerusi JPS dalam ucapan ringkasnya pula menjelaskan bahawa perlantikan barisan JPS merupan tanggungjawab berat dan JPS akan berusaha mengemblingkan tenaga membantu membangunkan MTA disamping usaha untuk menepati enakmen sekolah-sekolah swasta di bawah JAIJ. JPS akan berusaha memastikan peranan berkesan di dalam mewujudkan suatu sistem pentadbiran yang mudah dilaksanakan oleh pihak pengurusan sekolah demi kecemerlangan MTA. Sedikit pengalaman pengerusi menerajui JPS di Sekolah Tahfiz Al-Islah Pulau Pinang (selama 7 tahun) akan dimanfaatkan di MTA. Beberapa pelan tindakan terdekat ialah termasuk lawatan hormat kepada JAIJ, Penaung MTA (Dato Zalil, Pengurus Eksekutif YPJ) dan pertemuan dengan ibu bapa dan guru-guru MTA melalui beberapa siri perjumpaan. Satu pelan pengurusan kewangan dan perjawatan yang sistematik akan diperkenalkan bagi kebaikkan bersama.

Majlis dipengerusikan oleh Ustaz Azmanulail Marni (Pensyarah UTM) yang turut memberi peluang kepada ibu-bapa memberikan ulasan dan huraian mengenai perjalanan MTA semenjak awal tahun 2009. Pihak JPS mengambil maklum dan akan mengambil langkah-langkah perlu berhubung beberapa isu-isu yang diketengahkan. Pengerusi majlis menyeru para ibu bapa untuk melihat senario positif MTA melalui pembentukan JPS. Sekolah yang sekian lama wujud sememang mempunyai kelemahan di sana-sini, namun hasrat semua menghantar anak ke Sek Agama Swasta adalah untuk memastikan anak-anak mencapai ilmu dan amal yang akan memampukan berdepan dengan cabaran di masa hadapan.

Majlis turut diserikan dengan persembahan puisi arab, hafazan do’a-doa dan hafaza hadis-hadita oleh para pelajar MTA yang benar-benar mengkagumkan.