Thursday, December 17, 2009

MTA KE ARAH KECEMERLANGAN


Perutusan Pengerusi JPS MTA


Assalamualaikum

Segala puji kepada Allah SWT pencipta dan pentadbir sekelian alam, selawat dan salam keatas Rasul junjungan, kepada para sahabat dan mereka yang berjuang di jalan Islam yang suci dan murni ini.

Pendidikan anak-anak adalah asset termahal di dalam kehidupan sesaorang. Ini adalah kenyataan dan ramai yang memahaminya. Surah pertama yang diwahyukan Allah SWT yang bermaksud “Bacalah dengan nama Tuhan Mu yang menciptakan…” menggambarkan kedudukan ‘pendidikan’ dan martabat ‘ilmu’ bagi manusia. Oleh itu Ma’ahad Tahfiz Al-Akhyar (MTA) terus komited untuk menjalankan program pendidikan walaupun terpaksa melalui kesukaran serta menuntut pengorbanan mereka yang terlibat.

Kewujudan MTA yang kini berumur sepuluh tahun, telah mengumpul pelbagai pengalaman dan pencapaian. Kedudukannya yang strategic di pingir pusat bandaraya Johor Bahru, guru dari dalam dan luar Negara yang berwibawa, komposisi murid yang pelbagai termasuk dari negara Singapura, silibus yang merangkumi subjek akademik, deeniyah, lughah dan tahfiz menjadi asas yang baik untuk MTA melangkah dengan lebih cemerlang.

Pihak Jamaah Pengurusan Sekolah (JPS) MTA di dalam bengkel dan mesyuarat yang di adakan baru-baru ini telah mengenalpasti beberapa kelemahan MTA yang boleh diatasi dan pihak JPS telah mencadangkan beberapa langkah praktikal ke arah peningkatan kualiti pentadbiran, kualiti pendidik (murabbi), P&P dan pencapaian kecemerlangan pelajar. JPS mengenengahkan empat (4) pendekatan pendidikan tarbawiyah yang pernah diketengahkan oleh para pendidik Islam mahupun modern dan akan menggunakan di dalam pentadbiran di MTA. Komponen-komponen tersebut ialah (a)Murabbi (Pendidik); (b)Manhaj (Kurikulum); (c)Bi’ah (Persekitaran); dan (d)Irodah (Kehendak) oleh para pelajar. Pihak MTA akan berusaha melengkapkan segara kemungkinan seperti prasarana dan system yang dapat membantu menyediakan persekitaran yang positif kepada pentadbir, guru, murid mahupun ibu-bapa yang hadir ke sekolah.

Pendidikan adalah suatu proses berterusan dan perlukan pengemblingan pihak sekolah dan ibu-bapa. Harapan JPS ialah agar kita semua dapat mensyenrgikan keupayaan dalam bentuk pemikiran, masa, tenaga mahupun kewangan. Semua pihak memikul kewajipan dan tanggungjawab dan perlu diusahakan semampu mungkin bagi menunaikan tanggungjawab dan komitmen yang dijanjikan.

JPS dan pentadbir akan berusaha menyumbang pemikiran, kepakaran, idea dan masa; para guru akan berusaha memaksimakan usaha menjalankan P&P dengan lebih berkesan; murid-murid akan dididik dan diusahakan agar mereka lebih bersungguh-sungguh, berdisiplin dan bermotivasi; manakala ibu-bapa berusaha semampu mungkin memahami dan menyokong segala perancangan sekolah di samping berusaha melunaskan pembayaran yuran di dalam masa yang ditetapkan.

Semua itu adalah bentuk-bentuk pengorbanan yang perlu dibuktikan dengan sepenuh keikhlasan dalam rangka meraih keridhaan dan kasih sayang Allah swt. Segala harapan dan cita-cita murni kearah melahirkan anak-anak yang cemerlang dan soleh, perlu kepada pengorbanan dan keikhlasan. Keberkatan hidup berkeluarga dan kejayaan masa hadapan anak-anak adalah suatu tanggungjawab syara’. Jika kita berusaha melaksanakan dengan penuh tanggungjawab dan redha, Insya Allah kita akan menerima ganjaran yang mulia dari Allah yang Maha Agung.

Bersempena kedatangan tahun baru Hijrah 1431 dan Tahun baru 2010, marilah kita pertingkatkan asas perjuangan kita di dalam membentuk generasi penerus perjuangan Islam dengan keikhlasan yang tinggi dan komitmen yang padu bagi menjayakan Ma’ahad Tahfiz Al-Akhyar dan seterusnya kejayaan Islam.

Wallahu ‘alam, wassalamualaikum wm wb.

PM Dr. Mohd Zin Kandar

1 Muharam 1431

Johor Bahru

No comments:

Post a Comment